PUTRAJAYA – Kerajaan Nepal sedang mempertimbangkan langkah perundangan bagi menangani kes individu yang statusnya masih belum dapat ditentukan, termasuk warga asing susulan bencana banjir dan tanah runtuh di negara itu.
Dalam satu kenyataan Ahad, Kementerian Luar Malaysia berkata langkah itu masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat hari ini.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan penjelasan mengenai proses dan dokumentasi yang berkaitan sekiranya langkah berkenaan dilaksanakan.
“Kerajaan Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal serta menyelaras tindakan dengan agensi Malaysia berhubung proses-proses yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan sebarang penentuan mengenai status seseorang individu serta pengeluaran dokumentasi rasmi tertakluk kepada undang-undang dan prosedur berkaitan serta pihak berkuasa berkenaan di Nepal dan Malaysia.
Pada Ahad, Wisma Putra telah mengadakan pertemuan dengan 95 waris terdekat dan wakil keluarga yang mewakili keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lepas.
Sesi yang diadakan itu bertujuan memaklumkan keluarga mengenai perkembangan terkini yang telah disahkan, di samping memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada kementerian dan agensi-agensi yang terlibat dalam usaha itu.
Taklimat itu melibatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Setiap agensi memberikan penjelasan mengenai perkara di bawah bidang tanggungjawab masing-masing dalam pertemuan tertutup yang berlangsung pada 10.15 pagi dan berakhir kira-kira 3 petang tadi.
Wisma Putra memaklumkan kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir bagi memberikan sokongan kepada ahli keluarga sepanjang sesi berkenaan.
“Seiring dengan usaha yang kini memasuki fasa jangka panjang, sesi berkenaan turut membincangkan proses perundangan dan pentadbiran yang mungkin terpakai kepada keluarga rakyat Malaysia yang terkesan,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), SMART, PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Peguam Negara, JPN, JKM serta semua agensi yang terlibat atas kerjasama dan bantuan yang diberikan sepanjang usaha berkenaan, termasuk sokongan kepada keluarga berkenaan.
“Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan atas kerjasama berterusan yang diberikan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar turut menggesa orang ramai dan pihak media supaya menghormati privasi keluarga berkenaan serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.
Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan.
— BERNAMA
















