Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Negara, Riche Huan

KUALA LUMPUR –  Masyarakat bukan Melayu tidak mahu terus dilihat sekadar ‘statistik’ selepas pilihan raya, sebaliknya perlu diberikan pengaruh sebenar dalam menentukan dasar dan hala tuju kerajaan, kata Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Negara, Riche Huan.

Beliau berkata, penyertaan pemimpin bukan Melayu dalam sesebuah gabungan politik tidak seharusnya bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya perlu disertai ruang dan pengaruh dalam membuat keputusan penting kerajaan.

Menurutnya, persoalan utama selepas pilihan raya ialah sejauh mana wakil bukan Melayu benar-benar mempunyai peranan dalam menentukan dasar, bukannya sekadar disenaraikan sebagai sebahagian daripada kepimpinan atau gabungan.

“Selepas pilihan raya, kita tidak mahu masyarakat bukan Melayu kembali dianggap sebagai statistik. Mereka perlu menjadi rakan kongsi yang sebenar dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu Dalam Naratif PN-BN”, yang dikendalikan penganalisis politik, Dr Armin Baniaz Pahamin, di sini hari ini.

Riche berkata, perkara itu turut merangkumi bentuk penyertaan dan hasil nyata yang boleh diberikan kepada masyarakat bukan Melayu selepas pilihan raya, sama ada menerusi dasar kerajaan atau penglibatan lebih bermakna dalam pentadbiran.

Katanya, Wawasan Negara memerlukan sokongan lebih besar daripada masyarakat Cina serta penyertaan lebih ramai bagi mengukuhkan suara bersama dalam gabungan berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan Wawasan Negara memberi ruang kepada semua pihak tanpa mengira kaum dan wilayah untuk menyuarakan pandangan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.

“Pemimpin Cina dan India dalam gabungan perlu mempunyai pengaruh. Ia tidak boleh sekadar menjadi penyertaan simbolik,” tegasnya.

Riche berkata, Wawasan Negara mahu menawarkan pilihan baharu kepada negara menerusi usaha membina Malaysia berbilang kaum berasaskan pendekatan permuafakatan nasional yang baharu.

Menurutnya, usaha itu turut memberi tumpuan kepada pembentukan Malaysia yang lebih adil, ekonomi lebih baik serta pentadbiran yang lebih berperikemanusiaan dan tidak membebankan rakyat.

Beliau berkata, penerimaan masyarakat bukan Melayu terhadap Wawasan Negara bergantung kepada sejauh mana mereka memahami nilai serta pendekatan yang ditawarkan.

“Peluang itu ada jika rakyat memahami nilai yang kita bawa,” katanya.

Forum berkenaan turut menampilkan Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong, dan Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Lau Zhe Wei, sebagai panel. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here