Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – Apa-apa perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan menjadi garis merah MCA, termasuk dalam isu agama dan kaum, kata Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong.

Beliau berkata, pendirian itu penting bagi memastikan isu pendidikan, sekolah vernakular, bahasa, kebebasan beragama, kebudayaan serta hak ekonomi terus dipertahankan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Garis merah MCA ialah apa-apa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu Dalam Naratif PN-BN”, yang dikendalikan penganalisis politik, Dr. Armin Baniaz Pahamin, di sini hari ini.

Neow berkata, MCA menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, namun pada masa sama mempertahankan kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Katanya, kepelbagaian budaya termasuk kebudayaan masyarakat Cina juga perlu dipelihara, manakala sebarang pendekatan berkaitan kaum dan agama hendaklah berpandukan peruntukan perlembagaan.

Menurutnya, MCA tidak mahu politik negara terus terperangkap dalam naratif kaum dan agama yang boleh memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya isu berkenaan perlu ditangani secara matang dan berdasarkan prinsip perlembagaan.

“Generasi muda semakin kurang melihat isu kaum dan agama sebagai keutamaan. Mereka lebih melihat kepada apa yang kerajaan boleh lakukan untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat kini lebih menilai kemampuan kerajaan mentadbir, menyelesaikan masalah serta melaksanakan amanah berbanding latar belakang kaum seseorang pemimpin.

Dalam pada itu, Neow berkata MCA mahu memperkukuh Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu sebelum membincangkan sebarang bentuk kerjasama politik yang lebih luas.

Katanya, kekuatan BN penting bagi memastikan MCA mempunyai pengaruh sebenar dalam pembentukan dasar kerajaan, bukan sekadar memegang jawatan.

Neow turut menegaskan jumlah wakil atau jawatan dalam Kabinet bukan ukuran utama kekuatan politik, sebaliknya kualiti kepimpinan dan keberanian mempertahankan kepentingan rakyat lebih penting.

“MCA tidak mahu sekadar mengisi kerusi atau menjadi pengikut. Kita perlu mempunyai keberanian untuk bersuara dan mempertahankan kepentingan rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here