Tengku Adnan Tengku Mansor (dua kanan) diiringi Loga Bala Mohan (kiri) dan Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Datuk Zurainah Musa (kanan) melihat model Rumah Wilayah Persekutuan Lanai Bukit Jalil pada majlis Penyerahan Kunci dan Pengundian perumahan tersebut di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 23 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mengalu-alukan pemaju perumahan membina Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) sebagai membantu usaha Kerajaan Persekutuan menyediakan rumah mampu milik di ibu kota.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, setakat ini syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB) yang memberi sokongan itu dan ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai membeli rumah berkenaan.

Katanya, projek Rumawip Residensi Lanai Bukit Jalil yang diusahakan BCB mencipta sejarah menyediakan rumah mampu milik bagi kategori swasta.

“Ini sejarah pertama kita yang mendapat kerjasama pihak swasta dalam menyediakan rumah mampu milik di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

“Pemaju lain pun kalau mereka ingin sertai, kita alu-alukan. Kita memerlukan lebih banyak rumah mampu milik dan kita sedia beri kerjasama dari segi mendapatkan lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancar dan sesi pengundian Rumawip Residensi Lanai Bukit Jalil, di pejabat Berjaya Property Gallery di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mojan; Pengarah Eksekutif BCB, Datuk Zurainah Musa; dan Ketua Pengarah Eksekutif Berjaya Land Berhad, Datuk Pee Kang Seng.

Menurut Tengku Adnan, mulai tahun ini kementeriannya akan mengadakan lebih banyak lagi projek Rumawip yang amat menarik dan dibuka kepada rakyat.

Kata beliau, pihaknya meminta semua pihak memberi kerjasama untuk mempromosikan inisiatif Rumawip ini supaya golongan sasaran yang berkelayakan dapat merebut peluang mendapatkan kediaman itu di lokasi yang dihasratkan.

“Ketika ini, kementerian saya dan agensi bawahnya sentiasa berusaha memastikan projek di peringkat Kelulusan Perintah Pembangunan ini dapat dipercepatkan ke peringkat pembinaan supaya lebih banyak lagi prpjek dapat ditawarkan kepada rakyat secepat mungkin,” katanya.

Mengenai pencapaian projek itu, Tengku Adnan berkata, sehingga Disember tahun lalu, kementeriannya telah mencapai sebanyak 53,562 unit atau 65 peratus daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit yang ditetapkan.

“Antara syarat yang kita tetapkan meliputi beberapa peringkat pelaksanaan iaitu ‘Siap’, ‘Dalam Pembinaan’ dan ‘Kelulusan Perintah Pembangunan’,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast