Hishamuddin Hussein
SINGAPURA – Malaysia hari ini menggesa semua pihak agar tidak melihat kepada soal siapa menang atau kalah dalam menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia sesungguhnya yakin dan percaya bahawa pertikaian itu boleh diselesaikan menerusi diplomasi dan institusi pelbagai hala seperti ASEAN.

“Lihat melebihi andaian kalah menang atas fakta mudah bahawa keamanan adalah universal dan bukan soal campur tolak,” katanya dalam ucaptama pada Forum Fullerton 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk akhirnya mencapai kemajuan dalam perbalahan yang telah lama berlanjutan seperti Laut China Selatan.

“Sama ada kemajuan ini baik atau tidak terletak semata-mata di atas bahu negara di rantau ini dan rakan luarnya,” katanya.

Hishammuddin berkata sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan yang dikesali untuk dipecah-pecahkan hubungan luar di Asia Pasifik sebagai satu siri dikotomi palsu.

“Jelas kita sedang ditekan untuk memilih Timur atau Barat antara China atau Amerika Syarikat, antara liberalisme dan populisme,” katanya.

Beliau berkata perkara ini bertentangan dengan tradisi unik Asia mengenai pluralisme di mana pelbagai budaya, anutan dan sistem kepercayaan mampu wujud bersama dan subur sejak berabad-abad.

“Menjamin keamanan dalam masa kita memerlukan kita mendapat semula dan menyuburkan tradisi ini dalam segala apa yang kita lakukan.

“Malaysia yang DNAnya mengamalkan kesederhanan perdagangan terbaik dan pluralisme akan sentiasa menjuarai sentimen ini dalam berurusan dengan dunia,” katanya.

Hishammuddin berkata ia memerlukan pembaharuan komitmen kepada proses keselamatan pelbagai hala tanpa mengambil kira apa yang berlaku di sesetengah negara.

Dalam keadaan sedang berlaku atau kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan di seluruh dunia, ia munasabah untuk dijangka perubahan tertentu dalam senario keselamatan dan polisi bagi sesetengah negara,” katanya.

“Presiden Donald Trump (Amerika Syarikat) beberapa kali mengemukakan kemungkinan untuk mengurangkan sesetengah komitmen AS di luar negara.

“Sementara kita berharap beliau akan mempertimbangkannya, memandangkan betapa penting Asia Pasifik kepada keselamatan dan ekonomi Amerika, ia mungkin tiba masanya ASEAN mengambil cabaran ini dalam mengisi kekosongan berkenaan sebagai hasil perubahan sesetengah polisi yang melibatkan kuasa besar dunia,” katanya.

Forum Fullerton dianjurkan Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS) yang berpangkalan di United Kingdom yang menyediakan sokongan penting kepada Dialog Shangri-La yang edisi ke-16 akan berlangsung selama tiga hari mulai 2 Jun.

Forum Fullerton IISS menarik 75 perwakilan daripada 25 negara, terdiri daripada pegawai kanan pertahanan, pegawai tinggi tentera dan pakar dari badan bukan kerajaan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast