Presiden Republik Kosovo, Vjosa Osmani-Sadriu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra.
Presiden Republik Kosovo, Vjosa Osmani-Sadriu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra.

KUALA LUMPUR – Presiden Republik Kosovo, Vjosa Osmani-Sadriu hari ini menganugerahkan Order of Independence (Darjah Kemerdekaan) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Putrajaya.

Anugerah tersebut merupakan penghormatan awam tertinggi yang diberikan oleh Republik Kosovo kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan negara itu.

Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan terhadap sokongan berterusan Malaysia terhadap kedaulatan Kosovo serta pembangunan pasca-kemerdekaannya.

Ia juga menzahirkan penghargaan terhadap komitmen teguh Anwar dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Anwar menyatakan bahawa penghormatan tersebut adalah bukti persahabatan erat antara Malaysia dan Kosovo serta hasil dasar luar negara yang konsisten dalam menyokong perjuangan hak asasi dan kebebasan rakyat.

Antara tokoh antarabangsa yang pernah menerima Darjah Kemerdekaan ini termasuk Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (2014); George W. Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat (2018); Micheline Calmy-Rey, bekas Presiden Switzerland (2022); dan mendiang Anne Marie Lizin, bekas Presiden Senat Belgium (2024).

Presiden Republik Kosovo, Vjosa Osmani-Sadriu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra.
Presiden Republik Kosovo, Vjosa Osmani-Sadriu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra.

Presiden Osmani-Sadriu turut mengumumkan bahawa republik itu akan menganugerahkan Darjah Kemerdekaan kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penghormatan ini diberikan atas kepimpinan beliau yang tegas semasa tempoh penting dalam sejarah Kosovo.

Di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Abdullah, Malaysia menjadi antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Oktober 2008, menjadikan sokongan Malaysia sebagai signifikan dalam pembentukan negara tersebut.

Lawatan rasmi Presiden Osmani-Sadriu ke Malaysia turut menjadi simbolik kepada hubungan erat yang terus berkembang antara Kosovo dan Malaysia, khususnya dalam bidang diplomasi, pendidikan dan kerjasama ekonomi.

Majlis penganugerahan ini menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah hubungan dua hala Malaysia-Kosovo, dan mencerminkan penghargaan mendalam Kosovo terhadap sokongan berterusan Malaysia dalam memperjuangkan prinsip keadilan dan kedaulatan antarabangsa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast