Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka di Dataran MITC, Melaka. Foto SADIQ SANI, 04 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka telah menggerakkan lebih 100 inisiatif khusus bagi memperkasa golongan anak muda sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, agenda pembangunan anak muda sentiasa menjadi antara keutamaannya bagi memastikan generasi berkenaan mempunyai ruang, peluang dan kemahiran untuk membina masa depan.

“Sepanjang tiga tahun saya bersama barisan kepimpinan negeri memikul amanah mentadbir Melaka, agenda anak muda sentiasa kita letakkan sebagai antara keutamaan kerajaan negeri.

“Atas dasar itulah, lebih 100 inisiatif telah digerakkan khusus untuk pembangunan anak muda negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam ini.

Menurutnya, pelbagai bidang diberi perhatian termasuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan, selain membuka lebih banyak ruang dalam keusahawanan, sukan dan pembangunan bakat.

Katanya, kerajaan negeri turut berusaha memperluas peluang pekerjaan supaya anak muda mempunyai lebih banyak pilihan untuk membina kehidupan dan masa depan.

“Kerana bagi saya, anak muda umpama benih masa depan negeri Melaka.

“Apa yang kita semai pada saudara-saudari hari ini melalui ilmu, kemahiran, peluang dan keyakinan, itulah yang akan kita tuai sebagai kekuatan Melaka 10, 20 malah 30 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang berlangsung selama tiga hari turut menjadi antara platform kerajaan negeri menghimpunkan pelbagai peluang, aktiviti dan ruang interaksi untuk golongan muda.

Katanya, hampir 30 pengisian disediakan sepanjang karnival berkenaan merangkumi bidang permotoran dan automotif, pendidikan dan kerjaya, TVET, sukan, e-Sukan, keusahawanan, rekreasi, hiburan serta ruang interaksi.

“Gunakanlah tiga hari ini sebaik-baiknya. Sertai, terokai dan manfaatkan setiap peluang yang kita sediakan agar karnival ini menjadi titik mula kepada sesuatu yang lebih besar dalam perjalanan hidup saudara-saudari,” katanya.

Menurut Ab Rauf, karnival berkenaan turut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung termasuk 20,000 helai T-shirt khas, 2,000 unit helmet eksklusif dan 38 buah motosikal, selain hadiah utama sebuah motosikal RXZ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here