SALAHUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Selepas gagal memujuk Pas menyertai Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (PAN) menghasut rakyat dengan mendakwa parti diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama rakan Blok Ketiganya itu adalah proksi kepada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub menerusi kenyataan terbaharunya hari ini, mendakwa, kewujudan Blok Ketiga yang turut disertai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) adalah perancangan sulit dan rapi Pas untuk memecah-belahkan pakatan pembangkang.

“Memandangkan pakatan pembangkang semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat, Pas yang mengetuai Blok Ketiga menerusi Gagasan Sejahtera (GS) mula nampak condong menyokong BN,” katanya di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, beliau yakin rakyat yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini yakin blok ketiga adalah pakatan parti-parti politik yang akan menyumbang kepada kemenangan BN.

Kata beliau, PAN dan rakan dalam Pakatan Harapan (PH) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengadakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat faham bahawa, pakatan Blok Ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN.

“PPBM adalah parti yang boleh ditauladani dan diyakini kerana bersegera memperkukuh posisi bersama PH menentang kezaliman BN yang dilanda skandal terbesar hari ini.

“Rakyat wajib menolak parti politik yang hanya ingin menjadi ‘king maker’ dan kelihatan pro-BN. Ini adalah parti yang tidak boleh dipercayai sama sekali untuk diberikan mandat dalam PRU14 akan datang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette