Home Ekonomi Saham tempatan dibuka lebih tinggi

Saham tempatan dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR – Saham di Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini dengan sentimen pelabur dilonjakkan prestasi semalaman memberangsangkan di Wall Street, pengukuhan ringgit dan harga minyak mentah.

Pada 9.17 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.24 mata kepada 1,687.17, selepas dibuka 2.32 mata lebih tinggi pada 1,684.85.

Indeks itu ditutup pada 1,683.93 semalam. Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 164 berbanding 90 dengan 156 kaunter tidak berubah, 1,740 tidak didagangkan dan 72 yang lain digantung urus niaga.

Sejumlah 142.49 juta saham bertukar tangan bernilai RM61.89 juta.

Indeks FBM EMAS naik 27.27 mata kepada 11,809.94, FBM EMAS Syariah menambah 34.46 mata kepada 12,301.12 dan FBMT100 menokok 24.33 mata kepada 11,514.10.

FBM 70 menambah 37.12 mata kepada 13,472.49, tetapi FBM ACE susut 2.60 mata kepada 4,931.42.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank naik satu sen kepada RM8.34, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare menambah dua sen setiap satu masing-masing kepada RM7.18 dan RM6.35. Public Bank susut dua sen kepada RM20.18 dan Sime Darby jatuh empat sen kepada RM8.66, sementara Tenaga tidak berubah pada RM13.80. – MalaysiaGazette