Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

 

KUALA LUMPUR – Pas menyasarkan empat negeri akan diperintah oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Empat negeri itu, kata beliau, selain mempertahankan Kelantan, ialah Terengganu, Kedah dan memimpin Selangor dengan menjadi parti majoriti dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama PKR.

Katanya, untuk memastikan impian itu menjadi kenyataan, Pas perlu mempunyai kedudukan yang kuat dan kukuh, selain menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen.

“Kita tahu, agak sukar bagi Pas untuk mendapat majoriti 112 kerusi dan memerintah sendiri, tetapi kita mempunyai tanggungjawab mempertahankan Islam dan memastikan Islam memerintah.

“Kejayaan strategi ini juga akan menyebabkan UMNO tidak lagi sombong seperti dahulu dan membolehkan berlakunya perubahan politik dalam negara,” katanya di Kota Sarang Semut, di Alor Setar, Kedah hari ini.

Menurut Abdul Hadi, tahaluf siyasi Pas dengan DAP dan PKR tidak lama dulu hampir berjaya menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan mencapai peratus tinggi undi popular iaitu 89 kerusi pembangkang dan 132 kerusi kerajaan.

Bagaimanapun, jelas beliau, berlaku satu keadaan, di mana ketidak seimbangan wujud pada kedudukan politik dan jumlah kerusi wakil rakyat beragama Islam menyebabkan Pas keluar dari PR.

“Akibatnya, Pas hanya menang sorak apabila diconggak hanya 39 wakil rakyat pembangkang adalah beragama Islam, selebihnya iaitu 50 lagi bukan Islam.

“Ini yang menyebabkan Pas keluar dari tahaluf siyasi dan bebas untuk memilih kerusi tanpa terikat kepada perjanjian pengagihan kerusi dengan PKR dan DAP lagi,” katanya. – MalaysiaGazette