Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa dipanggil menghadap panel audit dalaman Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) pada 7 Februari ini.

Beliau bersama beberapa individu berkaitan dihadapkan ke mesyuarat audit dalaman bagi menjawab dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Menurut Ahli Majlils MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob, siasatan dalaman perlu dilakukan ke atas Annuar yang digantung jawatannya sebagai Pengerusi MARA berkuatkuasa hari ini, susulan pendedahan beberapa dokumen berkaitan penajaan itu.

Katanya, semua individu berkenaan termasuk Annuar perlu memberi kerjasama bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Siasatan ini berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan penajaan TRW daripada Pelaburan MARA Bhd. (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Ia tiada kaitan dengan pembelian empat aset MARA yang berada di Melbourne, Australia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pagi tadi, beliau mengumumkan Annuar digantung tugas daripada Pengerusi MARA berkuatkuasa serta merta setelah mendapat persetujuan Ahli Majlis MARA yang hadir pada mesyuarat tergempar di Bangunan MARA. – MalaysiaGazette