Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa berlapang dada menerima keputusan mesyuarat khas yang menggantung tugasnya sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan MARA Berhad berkuatkuasa serta-merta.

Beliau mendakwa tidak tahu menahu tentang mesyuarat khas itu kerana kini berada di Auckland, New Zealand kerana urusan rasmi MARA.

Dia hanya mengetahui tentang tindakan yang diambil ke atasnya selepas menerima panggilan telefon daripada Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan Datuk Dr. Yusof Yaacob, ahli majlis MARA sebentar tadi.

Mereka memaklumkan mesyurat khas itu dibuat dengan restu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tambah Annuar.

“Saya dimaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dr Yusof, telah mengambil keputusan menggantung saya serta-merta dari tugas sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan MARA.

“Saya sekarang berada di luar negara atas urusan rasmi MARA. Hari ini, saya baru saja selesai mesyuarat bersama Kolej Yayasan Saad dan Queenstown Recreational College,” katanya dalam Facebook beliau.

Annuar berkata, beliau tidak tahu menahu tentang mesyuarat khas kerana tidak dimaklumkan sebelum ini.

Malah, beliau mendakwa setakat ini tidak pernah diminta memberi sebarang penjelasan oleh mana-mana pihak termasuk menteri dan ahli majlis MARA.

Sebaliknya, beliau bercadang untuk berbincang tentang isu-isu berkaitan semasa mesyuarat majlis yang dijadualkan pada 14 Februari nanti.

“Tetapi nampaknya menteri telah memberi kebenaran untuk mesyuarat khas lebih awal tanpa kehadiran saya,” katanya sambil memaklumkan keputusan penggantungan itu menyebabkan jadualnya untuk bertemu dengan Naib Canselor University of Auckland esok dibatalkan.

Annuar menambah, sebagai individu yang dilantik oleh menteri, beliau menerima apa sahaja keputusan dengan penuh tanggungjawab.

Beliau akan membuat kenyataan minggu depan ketika keadaan tenang tanpa perlu terburu-buru. – MalaysiaGazette