KLUANG – Polis menahan dua lelaki selepas melakukan pecah masuk sebuah kilang di Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini pada malam Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, seorang lelaki warga tempatan melaporkan kejadian tersebut pada pukul 9.30 malam Ahad lalu.
“Susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang berjaya menahan dua lelaki berusia 35 dan 40 tahun.
“Mereka ditahan pada pukul 7 hingga 9.30 malam kelmarin melalui dua serbuan di lokasi berasingan di daerah Kluang,” katanya dalam kenyatan.
Katanya, hasil daripada semakan, kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala saringan air kencing positif methampethamine.
“Sebuah televisyen berukuran 60 inci dan masing-masing satu unit kompresor berwarna biru dan merah berjaya dirampas daripada suspek,” katanya.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh 14 tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Ujarnya, kedua-dua suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 27 April ini bagi membantu siasatan penglibatan dengan kes lain.- MalaysiaGazette
















