Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – “Saya hanya dimaklumkan mengenai mesyuarat, tetapi tidak tahu apa agenda mesyuarat itu,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau dihubungi media untuk mendapatkan ulasannya mengenai tindakan Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) yang mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini.

Dalam keputusan mesyuarat itu, Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Pelaburan MARA Bhd. (PMB) digantung berkuatkuasa serta merta.

Ketika ini Annuar berada di Auckland, New Zealand atas urusan rasmi MARA dan tugasnya dipangku oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob yang turut mempengerusikan mesyuarat tergempar itu bersama Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md. Yassin.

Menurut Ismail Sabri, beliau sedang menunggu laporan penuh mesyuarat itu daripada Ahli Majlis MARA dan tidak pasti apakah mereka mempunyai kuasa untuk menggantung pengerusi.

Katanya, pelantikan pengerusi adalah di bawah bidang kuasa beliau dan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan itu mungkin bersifat cadangan, bukan keputusan.

Sementara itu, Annuar dalam jawapan balasnya memberitahu, beliau berlapang dada menerima keputusan mesyuarat khas yang menggantung tugasnya sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan MARA Berhad berkuatkuasa serta-merta.

Beliau bagaimanapun, mendakwa tidak tahu menahu mengenai mesyuarat khas itu kerana kini berada di Auckland, New Zealand kerana urusan rasmi MARA.

Dia hanya mengetahui mengenai tindakan yang diambil ke atasnya selepas menerima panggilan telefon daripada Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan Dr. Yusof sebentar tadi. – MalaysiaGazette