Home Ekonomi Trend kenaikan harga minyak dunia dijangka tidak berpanjangan

Trend kenaikan harga minyak dunia dijangka tidak berpanjangan

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang menjadi kebimbangan rakyat dijangka tidak berpanjangan kerana trend peningkatan harga bahan bakar itu mula menurun sehingga pertengahan pertama tahun ini.

Penurunan itu disebabkan oleh peningkatan pengeluaran minyak syal dari Amerika Syarikat.

Penganalisis ekonomi tempatan, Dr Yeah Kim Leng berkata, kenaikan harga minyak sejak dua bulan berturut-turut – Januari dan Februari memang tidak dapat dielakkan kerana harga bahan itu melonjak sejak akhir tahun lalu.

Persetujuan OPEC dan bukan OPEC untuk mengawal pengeluaran menjelang akhir tahun lalu telah memacu harga minyak, kata Yeah.

“Tetapi kenaikan itu (harga minyak) diramalkan tidak berpanjangan selagi Amerika Syarikat tidak memberi kerjasama dengan OPEC dan bukan OPEC. Setakat ini, jumlah pengeluaran minyak Amerika Syarikat meningkat.

“Peningkatan bekalan minyak Amerika Syarikat itu telah mengakibatkan trend penurunan harga minyak dan dijangka untuk bulan seterusnya, harga minyak akan rendah sekitar AS$50 hingga AS$55 setong berbanding beberapa bulan sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Yeah mengakui kenaikan harga minyak secara berterusan sukar diterima oleh rakyat yang sudah terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Tetapi, jelasnya, untuk kerajaan meneruskan pemberian subsidi minyak yang turut akan dinikmati oleh golongan mewah bukan pendekatan yang betul dan tepat.

Sebaliknya, beliau berkata, kenaikan harga minyak akan meningkatkan pendapatan kerajaan dan ia boleh digunakan oleh kerajaan untuk membantu golongan sasar dan berpendapatan rendah.

“Mungkin golongan ini boleh dipertimbangkan kerajaan dengan bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia,” ujarnya, walaupun bantuan seumpama itu tidak produktif untuk diberi selama-lamanya.

Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik jika bantuan lain dapat dilaksanakan, contohnya dengan memberi peluang perniagaan kecil-kecilan kepada golongan ini supaya mereka mendapat kehidupan lebih baik.

Cara itu lebih produktif, sekali gus memberi kesan berganda kepada negara.

Manakala golongan pertengahan yang didakwa kumpulan yang terperangkap dengan kenaikan kos hidup memang tidak ada pilihan kecuali mengamalkan gaya hidup secara berhemah.

“Dalam apa-apa situasi ekonomi memang kedudukan kumpulan pertengahan mencabar, lantaran itu mereka ini perlu menyelaraskan kehidupan dengan membeli apa yang perlu dan elakkan pembaziran.

“Cara lain adalah dengan melakukan pekerjaan tambahan,” katanya.

Pada masa sama, Yeah berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran atau insentif dalam bentuk cukai pendapatan kepada golongan pertengahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast