PETALING JAYA – Seorang awang hitam dipukul sehingga mati selepas dia mengamuk dalam keadaan bogel berhampiran dengan sebuah balai polis di Jalan PJU10/2 di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.
Warga Afrika itu yang berada dalam keadaan khayal dipercayai mabuk bukan sahaja menyerang orang, malahan merosakkan kenderaan di tepi jalan.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi Khamis itu, mangsa turut melompat ke atas kereta polis selepas mengesan kehadiran penguat kuasa.
China Press melaporkan, orang ramai yang berdepan warga Afrika berbadan sasa itu telah mengambil batang besi ketika mengejarnya.
Awang hitam itu cuba melarikan diri ke dalam balai polis tetapi terjatuh di longkang di hadapan balai, kemudian dipukul oleh kira-kira 20 orang yang mengejarnya.
Mereka pada awalnya menyangka warga Afrika itu hanya pengsan sehinggalah dia disahkan meninggal dunia. Polis sedang mengesan mereka yang terlibat dalam memukul mangsa.
Dalam pada itu, rakan mangsa berkata, warga Afrika tersebut mempunyai masalah mental dan mempertikaikan tindakan orang ramai yang menggunakan kekerasan.
Sesetengah saksi bagaimanapun berpendapat mangsa berada dalam keadaan mabuk.
Bedah siasat akan dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian yang sebenar. – MalaysiaGazette