Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR –  Sebagai seorang aktivis bebas yang bergerak aktif di Sabah sejak 1995, Datuk Zulkarnain Mahdar bebas bersuara menyatakan pandangan terhadap mana-mana pemimpin, mahupun parti politik.

Menurut Zulkarnain, walaupun tidak berdaftar sebagai ahli dengan mana-mana parti politik, namun Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menghalang beliau daripada mengkritik dasar mahupun keputusan yang merugikan Sabah dan negara.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) itu berkata, tuduhan yang mengatakan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan dalaman UMNO dan tidak setia kepada parti sebenarnya kurang cerdik dan berniat jahat.

“⁠Sejak 1996, saya mula bergerak aktif menyerang UMNO kerana tidak bersetuju dengan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad menggilirkan jawatan Ketua Menteri Sabah melalui Kumpulan Belia Pencinta Nusa (CINTANUSA).

“Bagaimanapun saya kembali menyokong UMNO apabila keputusan itu dibatalkan.

“Kemudian saya kembali menentang UMNO selepas Datuk Seri Bung Moktar Radin bekerjasama dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menumbangkan Datuk Seri Hajiji Noor melalui rancangan kudeta, namun gagal.

“Ketika itu penentangan saya itu dibuat atas kapasiti sebagai aktivis bebas dan bukannya ahli UMNO aktif,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datuk Rosman Ahir Zaman mendakwa Zulkarnain bukan ahli UMNO dan tidak memegang jawatan dalam mana-mana sayap parti.

Rosman berkata, Zulkarnain tidak pernah diberi mandat untuk bercakap bagi pihak mana-mana cabang politik arus perdana.

Zulkarnain juga mengesahkan beliau tidak pernah menjadi ahli kepada mana-mana parti politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menjalankan perniagaan sendiri di Kuala Lumpur sejak 2018.

Menurut Zulkarnain, ⁠amat malang apabila UMNO Sabah meletakkan individu seperti Rosman untuk memegang portfolio Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, sambil menyifatkan beliau sebagai individu yang kurang cerdik.

“Tindakan Rosman yang menyerang saya, menunjukkan tahap pemikiran kurang matang beliau, malah saya sifatkan UMNO Sabah sebenarnya telah kehilangan pemimpin berkredibiliti.

“⁠Masalah utama Bung ketika ini ialah meletakkan seseorang individu di tempat yang salah dalam saf kepimpinan UMNO Sabah.

“Individu atau pemimpin UMNO yang lebih layak memikul tanggungjawab jawatan itu sepatutnya digalas bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain,” katanya.

Selain itu, Zulkarnain berkata, hampir kesemua kenyataan Rosman tidak berdasarkan fakta malah dilihat sama sekali tidak membantu meyakinkan rakyat Sabah untuk kembali menyokong UMNO.

“⁠Apabila Warisan memerintah Sabah pada 2018, kelibat Rosman sama sekali tidak pernah kelihatan menyerang kepimpinan Shafie Apdal dan sekarang beliau pula sibuk menjadi hero menyerang kerajaan GRS-PH.

⁠”Amat malang apabila Rosman tidak dapat membezakan antara musuh dengan sahabat sebenar UMNO di Sabah.

⁠”Warisan telah menumbangkan UMNO pada 2018 melalui cara tidak demokratik hingga menyebabkan UMNO kehilangan kuasa di Sabah,” katanya.

Katanya lagi, ekonomi Sabah merudum hingga kadar KDNK jatuh ke paras 0.5 peratus berbanding 8.2 peratus ketika Warisan mentadbir Sabah hampir dua tahun.

“⁠Melantik kroni ke jawatan tertinggi di Sabah sehingga menerima jolokan ‘Sempornasisasi’.

“Warisan juga gagal membawa pelabur luar masuk ke Sabah, terpalit dengan isu pemberian pulau kepada warga Filipina dan banyak lagi kelemahan.

“Namun kesemua ini telah membutakan mata Rosman sebaliknya melihat GRS-PH sebagai musuh dan bukannya Warisan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast