Pasukan petugas itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak, kata timbalan perdana menteri.
“Saya prihatin dengan isu bukan kewarganegaraan ini dan saya amat komited untuk memastikan masalah ini diselesaikan.
“Ia telah menjejaskan kaum India Malaysia dan Orang Asli di Semenanjung serta penduduk peribumi di Sabah dan Sarawak,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran bersama kerajaan negeri dan Komuniti Cina Kuching Selatan di sini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata unit bergerak akan disediakan untuk mendekati dan membantu mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
Mengenai perkara lain, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengarahkan menteri pendidikan supaya menjalankan kajian mendalam dan membuat saranan berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang tidak diiktiraf di peringkat kebangsaan.
“Sebaik kita menerima cadangan-cadangan itu, kita boleh membawa perkara itu ke peringkat Kabinet untuk membuat keputusan,” katanya.
Buat masa ini, Sarawak adalah satu-satunya negeri yang secara rasmi mengiktiraf UEC.
Ahmad Zahid turut menggesa masyarakat Cina di Sarawak supaya bekerjasama erat dengan polis dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah.
Beliau berkata penglibatan masyarakat dengan polis dalam perkara ini adalah penting kerana kehadiran polis semata-mata tidak akan menghalang sepenuhnya kejadian jenayah.
— BERNAMA