KUALA LUMPUR – CIMB-Principal Asset Management Berhad (CIMB-Principal Asset) mengunjur untuk meraih sebanyak RM300 juta dalam jualan CIMB-Principal Preferred Securities Fund (PSF) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Munirah Khairuddin berkata, sekuriti itu berpotensi menawarkan hasil yang menarik dalam persekitaran kadar faedah yang rendah.

Menurutnya, CIMB-Principal PSF dilaburkan dalam pelbagai portfolio sekuriti pilihan bagi potensi pulangan pendapatan dan pengekalan modal jangka panjang.

Dana itu, katanya, juga mensasar untuk mencapai potensi pendapatan dan peningkatan modal dengan pelabur dalam Principal Global Investors-PSF (PDIPF) dalam tempoh jangka pendek dan panjang.

PGIPF adalah dana berpangkalan di Dublin yang melabur dalam portfolio pilihan sekuriti dan hutang sekuriti denominasi dolar Amerika Syarikat.

Munirah berkata, PGIPF dijangka mampu mencapai prestasi melepasi penanda aras yang mana 50 peratus Indeks Sekuriti Kadar Pilihan Tetap Merill Lynch dan 50 peratus Indeks Sekuriti Modal Merill Lynch Bank of America.

PGIPF menyediakan pendekatan konservatif, dengan sekurang-kurangnya 75 peratus daripada aset dalam sekuriti pilihan gred pelaburan dengan purata penilaian kredit portfolio minimum diperlukan BBB- atau lebih baik.

PSF CIMB-Principal ini boleh didapati dalam struktur pelbagai mata wang dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM5,000 bagi pelaburan dalam ringgit dengan minimum pelaburan tambahan sebanyak RM2,000 dan AS$5,000 bagi pelaburan dalam dolar Amerika Syarikat dengan pelaburan tambahan minimum AS$2,000.

Munirah berkata, pelabur boleh melabur melalui perunding CIMB-Principal, Perbankan Persendirian CIMB dan lain-lain bank-bank yang mengambil bahagian. – MalaysiaGazette