Fattah dan Neelofa semasa Meet & Greet Lofattah.

Pelakon Fattah Amin dan Neelofa berterus terang hubungan mesra antara mereka telah terjalin sejak minggu pertama rakaman drama Suri Hati Mr Pilot (SHMP).

Mereka juga mengakui kemesraan yang dilihat oleh para peminat selama ini adalah gambaran perasaan mereka yang sebenar.

Malah menurut Fattah lagu Wanita Terakhir ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan dalam single terbarunya sememangnya untuk Neelofa sambil diakui oleh aktres itu sendiri.

Pengakuan itu dibuat di hadapan kira-kira 500 peminat yang hadir pada majlis Meet & Greet #Lofattah semalam yang turut disiarkan secara langsung di Facebook Budieydotcom.

Neelofa dan Fattah tampil membuat penjelasan itu berikutan pelbagai spekulasi, khabar angin, tuduhan, cemuhan dan dakwaan yang tidak betul berkaitan hubungan mereka sejak kebelakangan ini.

Biarpun masing-masing mempunyai perasaan sejak minggu pertama SHMP, menurut Neelofa, hubungan tersebut dilanda beberapa masalah berikutan cakap-cakap pihak luar yang turut memberi kesan kepada keluarga masing-masing.

“Walaupun kami were together sejak minggu pertama SHMP, bagaimanapun, sebelum saya menunaikan umrah sehingga sekarang ini, kami berdua perlukan ruang dan masa untuk heal, untuk tengok hala tuju ke mana benda (hubungan) ini.

“Ini kerana ada hal-hal peribadi yang kami tidak dapat kami kongsi dengan semua, oleh itu kami minta supaya hormati (perkara itu), jangan buat spekulasi sendiri sebab hanya kami yang tahu apa sebenarnya berlaku di antara kami,” kata Neelofa.

Menurut Fattah, terlalu banyak andaian yang bukan-bukan dan khabar angin mengenai hubungan mereka.

Keadaan itu, katanya, akan melarat dan menyinggung hati mereka berdua, ahli keluarga serta para peminat jika dia dan Neelofa terus berdiam diri.

Malah menurut Neelofa, rentetan daripada itu ada peminat yang membuat kesimpulan bahawa mereka telah dipermainkan, mereka diberi harapan palsu, hubungan antara kedua-duanya tidak pernah wujud, hubungan mereka adalah igauan peminat, tidak realistik dan macam-macam lagi.

Fattah berkata, dalam masa yang sama muncul pula haters yang mereka cerita-cerita baru sehingga menyulitkan lagi keadaan.

Sambil menyifatkan hubungannya dan Fattah tidak sama dengan pasangan-pasangan lain, Neelofa berkata, mereka perlu berhadapan dengan media, peminat dan 90 peratus daripadanya adalah orang yang aktor dan aktres itu tidak pernah kenal.

Dan dalam membuat penjelasan, katanya, mereka perlu mengambil kira semua pihak untuk berlaku adil dan tidak menyinggung perasaan sesiapa pun.

Fattah yang tiba lewat sejam dari Neelofa ke majlis itu mengulangi bahawa kemesraan antara dia dan aktres yang membawa watak Warda Erina dalam SHMP adalah perasaan yang sebenar dan bukannya memberi harapan palsu kepada para peminat.

“Dan lagu yang saya buat untuk ‘Si Dia’ itu pun betul,” katanya.

Neelofa kemudiannya menyangkal tuduhan bahawa Fattah menggunakan namanya untuk mempopularkan lagu Wanita Terakhir itu.

“Hari pertama dapat lagu itu saya ada dengan dia, saya ada di studio. Adalah tidak adil untuk kata Fattah gunakan saya sedangkan saya tuan punya badan setuju, malah pada hari rakaman lagu itu pun saya ada,” katanya.

Fattah yang memegang watak Ejaz Fakri dalam SHMP berkata, tiada istilah dia menggunakan Neelofa atau Neelofa menggunakan dirinya atau mereka berdua menggunakan peminat sebaliknya perasaannya selama ini adalah benar.

“Kalau kami ingin menggunakan peminat sudah banyak produk-produk kami keluarkan,” kata Neelofa pula.

Fattah berulang kali meminta para peminat berhenti membuat spekulasi dan tidak menyebarkan cerita yang bukan-bukan.

“Tolong jangan cakap atau komen benda-benda yang tidak baik, yang tidak sedap didengar, ia bukan saja sakitkan hati Lofa tapi sakitkan hati saya juga, dan hati peminat yang betul-betul sokong kami, saya tahu ada yang di luar kawalan saya tapi seboleh mungkin teruskan sokongan kamu semua, saya sayang semua peminat di sini,” katanya.

Dalam soal jodoh, Fattah berkata, perkara itu adalah di tangan Allah.

“Walau dirancang macam mana sekali pun, walaupun peminat satu dunia mahu kami bersama, kalau Allah kata tidak ada jodoh memang tidak akan ada jodoh. Bagaimanapun saya masih mengharapkan anda semua doa yang baik-baik,” katanya.

Neelofa juga menyerahkan kepada Allah dalam soal jodoh dan baginya jodoh adalah rahsia Allah yang dia dan Fattah tidak tahu.

“Dalam soal kahwin kalau dah confirm dan ada tarikhnya, anda (peminat) adalah orang yang pertama akan tahu, saya percaya kepada jodoh kalau ditakdirkan kami bersama, kami akan bersama,” katanya.

Bagi Neelofa, apa jadi sekali pun, dia sentiasa mahu bekerja dengan Fattah.

I want to be okay with you sampai bila-bila, I want to be okay with you regardless of dalam keadaan emosi kita tertekan. Saya tidak mahu ada masalah, saya tidak mahu apa yang tidak best, ikhlas saya cakap bukan kerana orang ada di sini, demi Allah,” katanya sambil memandang kepada Fattah yang turut menganggukkan kepalanya.

Ditanya sama ada tagline #Lofattah masih relevan digunakan oleh peminat dalam keadaan status hubungan kedua-duanya masih samar, Neelofa berkata, gabungan namanya dan Fattah itu wujud atas faktor kerja iaitu semasa SHMP.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil untuk tagline itu dihentikan semata-mata kerana soal peribadi antaranya dan Fattah.

Berbanding beberapa siri Meet & Greet sebelum ini, hubungan kedua-dua pelakon itu semalam kelihatan agak janggal. Masing-masing dilihat kekok tetapi dalam masa yang sama berusaha menjaga hati para peminat.  –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast