KUALA LUMPUR – Khalid Samad akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik blog yang didakwa menyebarkan isu dirinya ‘menyembah’ ayam dalam video satira Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, walaupun posting mengenai perkara itu sudah dipadam dalam blog Omakkau namun tindakan perundangan tetap dilakukan.
“Bila dia (pemilik blog) keluar tuduhan sembah itu, sebenarnya semua terlibat dalam video itu kena. Dalam video itu ada Rafizi Ramli dan ramai lagi.
“Ini satu corak politik yang melampau dan saya rasa bertanggungjawab untuk menentukan corak politik sebegini tidak lagi diamalkan,” ujarnya pada sidang media hari ini.
Sebelum itu, Khalid salah seorang pelakon dalam video terbitan pemimpin DAP, Teresa Kok dimana ada adegan beliau mengurung seekor ayam sambil mengucapkan Gong Xi Fa Cai.
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu juga memaklumkan beliau pernah memenangi kes saman fitnah ke atas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman berhubung penyiaran gambar menunjukkan beliau seperti seorang paderi Kristian dan murtad.-MalaysiaGazette