gambar hiasan
ALOR SETAR – Kedah telah mencatatkan 11 kes terbaharu jangkitan virus Rotavirus melibatkakan kanak-kanak dan remaja, menjadikan jumlah keseluruhan 18 kes jangkitan direkodkan di hospital di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, 11 kes terbaharu itu melibatkan pesakit berumur setahun hingga 19 tahun yang mengunjungi Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong di Baling dari 28 Jan hingga 30 Jan lepas.

Katanya, sehingga pukul 5 petang semalam, empat orang telah dimasukkan ke Hospital Kulim, Hospital Jitra (tiga kes), Hospital Sik (dua kes) manakala Hospital Yan dan Hospital Pakar Amanjaya, Sungai Petani masing-masing dengan satu kes.

“Ada antara mereka ditahan di wad untuk rawatan susulan dan ada diberi rawatan pesakit luar,” katanya dalam kenyataan di sini, Isnini.

Beliau menasihatkan mereka yang mengunjungi pusat rekreasi tersebut daripada 25 Jan hingga 3 Feb lalu dengan mengalami gejala cirit-birit untuk mendapatkan rawatan di klinik berdekatan dan memaklumkan sejarah mengunjungi pusat rekreasi terbabit.

Katanya, pusat rekreasi tersebut masih ditutup untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan negeri, Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast