AUCKLAND – Penerbangan terjauh dunia yang dilakukan Qatar Airways mendarat di Lapangan Terbang Auckland 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan, selepas pesawat syarikat penerbangan tersebut meninggalkan Doha 16 jam sebelum itu.
Penerbangan QR920 yang menggunakan pesawat Boeing, B777 itu diberi sambutan tradisi dengan pancutan air sebagai tanda selamat datang.
Penerbangan dengan tempoh paling panjang itu mengatasi masa penerbangan antara Dubai ke Auckland yang dilakukan Emirates, dengan jangka masa sejam lebih lama.
Perkhidmtan antara Doha-Auckland menyaksikan jarak tambahan sejauh 234 kilometer daripada yang dilakukan oleh pesaingnya itu.
Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Hamad, Doha pada pukul 5.04 pagi waktu tempatan semalam. Pesawat tersebut merentasi 10 zon masa, lapor nzherald.
Syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat B777 dengan konfigurasi 217 tempat duduk kelas ekonomi dan 42 tempat duduk kelas perniagaan.
Penerbangan selama 16 jam 20 minit itu ia merentasi ruang udara Dubai, selatan India, Sri Lanka, Indonesia, Australia sebelum menghala ke Auckland.
Bagi penerbangan pulang, pesawat itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Auckland pada pukul 2.40 petang waktu tempatan dan tempoh penerbangannya akan mengambil masa sejam lebih lama berikutan arah angin yang bertentangan.
Pesawat yang digunakan itu berusia lapan tahun dan penerbangan pergi balik antara Doha-Auckland adalah sejauh 29,066 kilometer (km).
Penerbangan itu memerlukan khidmat empat juruterbang dan 15 krew kabin dan sebanyak 1,100 cawan teh dan kopi, 2,000 minuman sejuk serta 1,036 makanan dihidangkan semasa penerbangan Doha-Auckland dilakukan.