Mohd Sukri Kaman. foto FAREEZ FADZIL, 24 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan reman dua suspek iaitu seorang lelaki India tempatan dan wanita Myanmar disyaki ahli sindiket pemerdagangan manusia menggunakan sekumpulan kanak-kanak meminta sedekah sambil menjual bunga di sekitar ibu kota.

Kedua-dua suspek berusia antara 38 hingga 45 tahun itu dicekup dalam satu serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi di sebuah permis di sekitar Ampang antara pukul 8.15 pagi hingga 11 pagi pada 4 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd. Sukri Kaman berkata, hasil pemeriksaan polis, sebuah teksi Proton Iswara putih, wang tunai RM145, sebuah telefon bimbit jenis Lenovo dan beberapa helai pastik pembalut bunga dan beberapa kuntum bunga ros dan bunga pikok dirampas polis.

“Selain itu, polis berjaya menyelamatkan 21 orang mangsa dipercayai digunakan untuk aktiviti mengemis ahli sindiket itu.

“Modus operandi saspek akan mengambil mangsa di rumah mereka pada pukul 9 malam dan dihantar ke kawasan Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Alor dan Jalan Bukit Bintang sebelum mangsa dipaksa menjual bunga sehingga 6 pagi dengan harga RM10 sekuntum,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Mohd. Shukri, kesemua 21 mangsa yang diselamatkan itu terdiri daripada lapan dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia dua bulan.

Menurut beliau, lapan dewasa berumur lingkungan 18 hingga 45 tahun (tiga lelaki, 5 wanita) manakala 13 kanak-kanak pula berusia antara 2 hingga 16 tahun(7 lelaki, 6 wanita).

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi telah menjalankan risikan ke atas aktiviti pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi kanak-kanak bermula dari 4 Januari hingga 3 Februari lepas.

Hasil pemerhatian mendapati saspek disyaki ahli sindiket pemerdagangan manusia telah menggunakan sekumpulan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti meminta sedekah sambil menjual bunga untuk meraih simpati orang awam yang berada di sekitar pusat hiburan, pusat beli belah dan restoran di sekitar Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Alor dan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Suspek lelaki India tempatan direman selama lima hari manakala wanita Myanmar direman selama 14 hari untuk membantu disiasat dan tindakan lanjut dibawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Polis menasihatkan kepada orang ramai agar tidak bersimpati dengan membeli bunga atau menderma sekiranya masih terdapat kanak-kanak yang menjalankan aktiviti ini,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette