KUANTAN – “Siapa yang curang sebenarnya?” soal Zahnita Dorothy Hussien Wilson sambil menafikan dakwaan dia pernah curang ketika dalam perkahwinan bersama suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor.
Dengan tegas bekas peragawati yang berusia 39 tahun itu berkata, dia adalah isteri yang taat sepanjang usia perkahwinan mereka.
“Saya sentiasa setia sepanjang bergelar isteri. Selama ini memang taat. Saya curang, mana buktinya?
“Saya keluar rumah pun hanya untuk menyelamatkan diri daripada masalah kesihatan mental serta penderaan fizikal dan emosi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Tegasnya, Abdul Zackery patut tampil dengan bukti kukuh sekiranya beliau telah berlaku curang.
Kecewa dengan dakwaan yang dilemparkan itu, Zahnita berkata, dia mengaku tidak mampu untuk berbuat apa-apa apabila imejnya diburukkan oleh sesetengah pihak.
Baru-baru ini dalam kenyataan kepada media, Abdul Zackery mendakwa Zahnita telah menduakan pada tahun 2015 dan 2016, malah pernah melarikan diri bersama seorang lelaki selama enam bulan.
Pada masa sama, Abdul Zackery menyangkal orang ketiga punca keretakan rumah tangganya seperti didakwa Zahnita.
Terdahulu 3 Disember lalu, Zahnita nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan setelah mendakwa dirinya dizalimi akibat penderaan yang dialaminya.
Mahkamah Tinggi Syariah Pahang membenarkan hak jagaan sementara ex parte diberikan kepada Zahnita pada 6 Disember 2024 selepas beliau memohon kepada mahkamah mendapatkan jagaan anak-anaknya.
Mahkamah membenarkan Ahmad Zackery diberi hak melawat anak-anak mereka dengan pengawasan pemohon atau ahli keluarga pemohon secara bersama di tempat terbuka seperti taman permainan atau taman rekreasi atau di mana-mana kawasan yang bersesuaian dengan pemohon atau ahli keluarga.
Responden juga diberikan ruang dua kali sebulan sama ada pada hari Sabtu atau Ahad bermula pukul 4 hingga 6 petang pada hari yang sama dengan makluman secara bertulis sebelum 48 jam lawatan.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Majistret Kuantan membenarkan jarak sekurang-kurangnya 50 meter antara Zahnita dan suami suami berdasarkan keputusan Perintah Perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Demi anak-anak, suami Zahnita tampil pertahankan diri
Zahnita lega mahkamah keluar perintah perlindungan jarak 50 meter
Zahnita dapat hak hadanah interim 4 anak