KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia melonggarkan beberapa sekatan terhadap pasaran tukaran wang asing bagi membenarkan transaksi dagangan dolar Amerika/ringgit di antara bank-bank tempatan.
The Star melaporkan, bermula semalam, bank-bank tempatan dibenarkan membuat transaksi terhadap sebarang matawang asing sehingga AS$1 juta.
Contohnya sebuah bank tempatan boleh mengambil tukaran daripada dolar Amerika kepada ringgit atau sebaliknya untuk sebarang perdagangan sehingga RM1 juta.
Menurut peniaga, notis dari Bank Negara itu dikeluarkan semalam.
Sejak 11 November lalu, apabila dolar Amerika melonjak berbanding ringgit, Bank Negara telah memperkenalkan beberapa sekatan terhadap urusniaga matawang asing sebagai langkah mengekang pengaruh pasaran ringgit luar pesisir terhadap tukaran matawang asing pesisir di antara dolar Amerika dan ringgit.
Antara larangan tersebut, bank-bank tempatan tidak dibenarkan mengadakan transaksi dengan bank-bank yang tidak ditubuhkan di Malaysia, pengeksport pula diwajibkan menukar 75 peratus daripada hasilnya kepada ringgit manakala bank bukan Malaysia perlu mengesahkan transaksi dolar-ringgit mereka tidak digunakan untuk menyelesaikan dagangan di pasaran “non-deliverable forward” atau NFD.
Sejak 11 November lalu, transaksi yang melibatkan matawang asing diuruskan oleh bank pusat sahaja.
Bank-bank bertindak sebagai orang tengah atau penyalur kepada pelanggan yang mahu menukar dolar Amerika kepada ringgit dalam sebarang jumlah.
“Berkuatkuasa semalam, bank-bank tempatan boleh melakukan perdagangan dalam kalangan mereka bagi urusniaga kurang daripada AS$4 juta.
“Ini memberikan sedikit kelegaan kepada perdagangan pasaran matawang asing antara bank.
“Bagaimanapun ini hanyalah langkah kecil. Bank-bank memerlukan ruang yang lebih besar untuk melakukan dagangan dalam pasaran antara bank untuk mempercepatkan pertumbuhan,” kata sumber.- MalaysiaGazette