Chew Mei Fun

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita MCA menyifatkan cadangan Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan sebagai tidak realistik.

Malah tidakan balas melulu DAP melancarkan kempen ‘I love Penang’ susulan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan itu dianggap tindakan jahil serta kurang integriti.

Ketua Pergerakan wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, Barisan Nasional atau kerajaan persekutuan tidak pernah membincangkan perkara itu sebelum ini.

Katanya, penubuhan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mempynyai latar belakang dan fungsi tersendiri dengan Kuala Lumpur menjadi ibu negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan manakala Labuah adalah pusat kewangan persisir pantai.

“Dalam kes Pulau Pinang, mengimbas kembali fungsi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, tiada alasan kukuh untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan.

“Oleh itu, cadangan Tengku Adnan menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan adalah tidak realistik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada minggu lalu, Tengku Adnan mencadangkan perluasan kawasan Wilayah Persekutuan merangkumi Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka dengan ketiga-tiga negeri itu diletak di bawah pentadbiran Putrajaya.

Sementara itu, Mei Fun berkata, daripada membuang masa bertindak balas terhadap cadangan tersebut dengan melancarkan kempen ‘I love Penang’, DAP sepatutnya memahami terlebih dahulu isu itu secara keseluruhan.

Beikutan itu, beliau menganggap kempen yang dilancarkan itu sebagai tindakan jahil selain kurang integriti.

Menurutnya, DAP sepatutnya memberi tumpuan membina lebih banyak kediaman mampu milik di Pulau Pinang bagi manfaat golongan berpendapatan rendah atau memperkenalkan undang-undang kecil untuk mengelak pembelian hartanah yang mempunyai nilai warisan dilakukan dengan mudah.

Dakwa beliau, ini kerana penyewa dan perniaga di pulau itu terpaksa berpindah kerana mereka tidak mampu membayar sewa yang tinggi. – MalaysiaGazette