Gambar hiasan

TEHRAN – Kementerian Perladangan, Industri dan Komoditi positif yang jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia ke Iran akan berkembang sebanyak 30 peratus sehingga 40 peratus tahun depan di bawah Perdagangan Perjanjian Bebas (FTA).

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, Malaysia hanya perlu mencari penyelesaian kepada rejim cukai semasa yang dikenakan Iran ke atas import minyak sawit.

“Jika kita boleh dapat pengurangan sebanyak 40 peratus, nilai eksport ke Iran pastinya akan meningkat sebanyak 30 peratus sehingga 40 peratus tahun depan.

“Ini pastinya menjadi kunci prestasi kita bagi 2018,” katanya kepada Bernama.

Siew Keong berada di Tehran sejak 5 Februari lalu untuk mengetuai misi ekonomi dan teknikal minyak sawit, balak dan produk getah ke Iran.

Malaysia sedang berunding untuk mendapatkan pengurangan duti minyak sawit dan komoditi lain di bawah FTA.

Eksport minyak sawit ke Iran dilaporkan mengalami cabaran sekatan (kuota import) dan dasar diskriminasi ke atas cukai.

Pada 2014, Iran mengenakan kuota import ke atas minyak sawit yang mana keseluruhan import minyak sawit tidak melebihi 30 peratus daripada keseluruhan import minyak dan lemak.

Import jatuh sebanyak 47 peratus daripada 997,000 tan pada 2013 kepada 330,970 tan pada 2015 disebabkan kuota import.

Pada Mac 2016, kuota import dihapuskan dan digantikan dengan cukai import yang lebih tinggi sebanyak 40 peratus manakala minyak sayuran hanya dikenakan cukai sebanyak 24 peratus.

“FTA ini perlu dipercepatkan kerana ia merupakan jalan terbaik untuk mengurangkan tarif,” katanya.

Tambah Siew Keong, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan berjumpa dengan rakan sejawatnya tidak lama lagi bagi menyelesaikan rundingan FTA di antara dua negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast