KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melantik Johan Mahmood Merican dan Gloria Goh sebagai ahli lembaga pengarahnya.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, PIDM berkata, pelantikan tersebut adalah untuk tempoh selama tiga tahun disebabkan persaraan Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff dan George Anthony David Dass.
Pengerusi PIDM, Tan Sri Dr. Abdul Samad Alias berkata, Johan dan Gloria memiliki pengalaman profesional yang luas dan kepakaran dalam bidang masing-masing yang boleh memberikan input berguna kepada lembaga pengarah.
Johan ketika ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Modal Insan) di Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di Talent Corporation Malaysia Bhd.
Gloria pula merupakan rakan kongsi bersara Ernst and Young Malaysia serta merupakan bekas ahli majlis Institut Akauntan Malaysia dan Persekutuan Akauntan ASEAN. – MalaysiaGazette