KUWAIT – Pelakon Lindsay Lohan mengakui hatinya menjadi lebih tenang ketika mendengar bacaan ayat suci al-Quran ketika mendedahkan pengalaman itu menerusi satu wawancara rancangan televisyen Kuwait.
Dalam rancangan dikendalikan Shohaib Rashid itu, Lindsay berkongsi kisah caranya berdoa sama seperti seorang Muslim selain berpuasa selama tiga hari sewaktu bulan Ramadan.
“Saya berpuasa selama tiga hari bersama rakan dari Kuwait, ia begitu sukar tetapi amat bagus,” katanya yang dalam rancangan yang kini menjadi tular di internet.
Semasa rancangan itu berlangsung, Lindsay turut memberi kejutan apabila mengaku membaca sekurang-kurang 15 halaman terjemahan al-Quran dan pada masa sama berlatih menulis beberapa ayat dalam bahasa Arab.
Menurutnya, ayat Al-Quran itu didengari menggunakan telefon genggam yang dimuat naik dari sebuah aplikasi.
Apabila ditanya, apakah dia merasa perasaan istimewa ketika membacanya, Lindsay berkata “Saya rasa tenang”.
Sebelum ini, pelbagai spekulasi tercetus apabila imej Lindsay,30, berjalan sambil memegang al-Quran menjadi tular di Internet.
Tindakannya sekali lagi mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik status pada akaun Instagram dengan menulis perkataan: “Alaikumsalam.”
Ia menguatkan lagi dakwaan bahawa bintang Mean Girls itu telah menukar agamanya kepada Islam.
Bagaimanapun, aktres itu berkata, dia hanya berniat memegang al-Quran bersama-samanya pada ketika itu.
Lindsay merujuk kitab suci itu ‘memberinya ketenangan dan merasa perkara paling selamat pernah dimilikinya.’
“Saya hanya memegang sebuah kitab agama, tetapi orang-orang di Amerika tidak suka, mereka menghakimi saya dan mengatakan perkara-perkara buruk,” ujarnya. – MalaysiaGazette