Dr. Yusof Yacob

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Audit Dalaman Mara bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa melibatkan Tan Sri Annuar Musa diadakan hari ini.

Pengerusi sementara Mara Datuk Dr Yusof Yacob berkata mesyuarat kali pertama itu diadakan di ibu pejabat Mara di sini bagaimanapun tidak memanggil Annuar yang kini digantung tugas sebagai pengerusi Mara dan pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB).

“Ini mesyuarat kali pertama…saya tidak terlibat dalam mesyuarat itu dan menyerahkan kepada jawatankuasa sama ada akan memanggil Tan Sri Annuar dalam masa terdekat atau tidak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Annuar ketika dihubungi berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang mesyuarat namun bersedia dipanggil pada bila-bila masa.

Petugas media cetak dan elektronik berkumpul di lobi utama bangunan Mara sejak 8 pagi tadi bagi membuat liputan mesyuarat itu.

Keputusan penggantungan tugas serta-merta itu dibuat pada mesyuarat khas Ahli Majlis Mara pada 31 Jan lalu bagi membolehkan audit dalaman MARA menyiasat beberapa perkara mengenai agensi itu termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini turut berkata siasatannya hanya bertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan Annuar dalam penajaan pasukan bola sepak itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast