Home Ekonomi Perdagangan Malaysia tahun lalu kukuh – Matrade

Perdagangan Malaysia tahun lalu kukuh – Matrade

KUALA LUMPUR – Perdagangan Malaysia pada 2016 kekal kukuh di sebalik keadaan persekitaran global yang tidak menentu. Jumlah perdagangan meningkat 1.5 peratus kepada RM1.485 trilion berbanding RM1.463 trilion berbanding tahun lalu.

Peningkatan ini disumbang oleh perdagangan yang lebih tinggi dengan China, yang berkembang sebanyak RM10.09 bilion, Amerika Syarikat (RM6.87 bilion), Republik Korea (RM3.56 bilion), Taiwan (RM3.29 bilion) dan Arab Saudi (RM3.04 bilion).

Peningkatan ketara turut dicatatkan dengan Turki (RM2.81 bilion), Hong Kong (RM1.93 bilion), India (RM1.85 bilion), Mexico (RM1.64 bilion), Brazil (RM1.52 bilion), Bangladesh (RM1.48 bilion), ASEAN (RM1.41 bilion) dan Kesatuan Eropah (EU) (RM549.6 juta).

Eksport meningkat 1.1peratus kepada RM785.93 bilion dan import meningkat 1.9 peratus kepada RM698.66 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM87.27 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-19 tahun dicatatkan sejak 1998.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport pada 2016 adalah peningkatan eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing sebanyak 3.2 peratus dan 4.7 peratus, mengimbangi penurunan eksport hasil galian.

Pertumbuhan yang berterusan bagi eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) didorong oleh permintaan global yang kukuh untuk barangan elektronik; peningkatan eksport ke ASEAN sebanyak 5.4 peratus dengan pertumbuhan ketara ke Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar serta Vietnam dan Filipina.

Selain itu, eksport yang lebih tinggi ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terutamanya ke Turki, India dan Pakistan; pertumbuhan eksport yang kukuh ke negara-negara maju, terutamanya Amerika Syarikat dan zon Eropah khususnya Jerman, Belgium, Itali serta Hungary; dan permintaan yang lebih tinggi dari pasaran-pasaran berpotensi seperti Mexico dan negara-negara di Asia Selatan. – MalaysiaGazette