Hamzah Zainuddin
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi tempoh sebulan bermula hari ini kepada peniaga untuk melabel produk bulu binatang yang dijual kepada orang ramai.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ia bagi mengelak kekeliruan kepada pembeli terutama yang beragama Islam berhubung produk yang menggunakan bulu binatang seperti babi dan anjing.

“Kita minta kalau boleh peniaga ambil kertas bersaiz A4 misalnya, dan tulis di situ ‘Barang-barang ini dibuat daripada bulu binatang’,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa peniaga produk bulu binatang sepatutnya lebih beretika dan bertanggungjawab dalam memaklumkan pembeli tentang kewujudan bahan seperti bulu babi atau anjing.

“Kedua-dua pihak harus faham dan bertanggungjawab untuk memaklumkan antara satu sama lain…kita mesti bekerjasama ke arah kehidupan dalam masyarakat berharmoni,” katanya.

Selasa lepas, Hamzah dilaporkan berkata kementerian itu telah menyita 2,003 berus cat diperbuat daripada bulu babi bernilai RM10,988.94 kerana pelanggaran Perintah Perihal Dagangan (Barang Diperbuat Daripada Bahagian Babi atau Anjing) 2013 yang menetapkan barangan tersebut perlu dilabel dan diasingkan.

Dalam pada itu, Hamzah berkata beliau telah mengarahkan pegawai penguat kuasa kementerian menghentikan serbuan ke atas premis yang menjual berus cat diperbuat daripada bulu babi berkuat kuasa semalam.

Beliau seterusnya berkata isu berus bulu binatang tidak seharusnya digunakan sesetengah pihak untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Jangan jadikan isu ini polemik untuk pecah belahkan sesama kita…kita (hidup) dalam negara yang berbilang kaum dan agama. Ini bukan isu politik dan kita perlu berhenti memburukkan perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast