KUALA LUMPUR – Johor akan melaksanakan pengurusan bekalan air secara “demand management” (berdasarkan permintaan dan bukan berdasarkan bekalan) dalam usaha memastikan pengguna mengamalkan pendekatan berhemat apabila menggunakan air.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayahnya, Datul Ir. Hasni Mohammad berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, bagi menjayakan usaha tersebut, SAJ Holdings (SAJ) sudah memulakan pelarasan semula deposit pembekalan air bagi negeri ini kepada semua pengguna air syarikat itu bermula pada tahun ini di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Pelaksanaan itu adalah salah satu langkah mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di bawah Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj Perkhidmatan Air) 2014 yang berkuat kuasa pada Februari 2014.

“Mengikut akta dan peraturan di atas, kajian semula dilakukan setiap tahun pada 31 Januari bagi pengguna domestik dan dua kali setahun iaitu pada 31 Januari dan 31 Julai bagi pengguna komersial dan industri.

“Objektif dan keperluan kajian semula deposit itu adalah bagi mematuhi akta tersebut selain untuk memastikan deposit mencukupi semasa proses penutupan akaun – caj perkhidmatan terakhir yang mana kaedah itu diguna pakai diperingkat nasional dan turut dilaksanakan di negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasni berkata, SAJ telah mula menuntut deposit tambahan kepada akaun bekalan air pengguna pada bil Februari 2017 (yang sepatutnya bermula pada 2014) sekiranya deposit sedia ada kurang daripada nilai deposit yang baharu.

Jelasnya, pengiraan deposit itu bergantung kepada purata pembayaran air selama setahun dan sekiranya caj dikenakan kurang daripada deposit, maka lebihan bayaran itu akan dipulangkan dengan mendebitkan ia ke dalam pengguna.

“Pada masa sama, jika ada pengguna yang tidak mampu untuk membuat pembayaran penuh deposit baharu yang dikenakan itu, mereka boleh meminta kepada SAJ untuk membuat pembayaran secara ansuran semasa membuat pembayaran bil masing-masing.

Justeru, pelarasan deposit baharu itu diyakini tidak membebankan pengguna seperti didakwa kerana menerusi pelaksanaan tersebut pengguna akan menggunakan air dengan lebih berhemat dalam usaha memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi,” katanya lagi dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette