KUALA LUMPUR- Lebihan akaun semasa Malaysia dijangkakan meningkat kepada RM20.2 bilion tahun ini atau 1.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), berbanding anggaran RM15.9 bilion atau 1.3 peratus daripada KDNK pada 2016.

Dalam nota penyelidikan hari ini, RHB Research berkata, peningkatan itu didorong oleh unjuran harga komoditi yang lebih baik, lapor Bernama.

Eksport juga dijangka meningkat sederhana kepada 2.0 peratus tahun ini daripada 1.1 peratus pada 2016, disebabkan oleh peningkatan beransur-ansur dalam jumlah dagangan barangan dunia, serta permintaan yang kukuh ke atas barangan elektrik dan elektronik selain pemulihan harga komoditi.

“Pecutan eksport pada Disember disumbang oleh peningkatan penghantaran barangan ke China dan ASEAN.

“Ini bagaimanapun mengimbangi sebahagian kelembapan dalam penghantaran barangan ke Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah, manakala eksport ke Jepun susut dengan marjin yang lebih besar,” kata RHB Research.

Ketua Ekonomi IHS Global Insight Asia Pasifik, Rajiv Biswas, berkata prospek bagi sektor pembuatan Malaysia dalam tempoh terdekat ini dijangkakan dibantu oleh prospek ekonomi Asia Pasifik dan global (APAC) 2017.

“Kami menjangkakan rantau APAC akan kekal sebagai ekonomi paling pesat berkembang di dunia, dibantu oleh pertumbuhan pesat yang berterusan di pasaran pesat membangun utama China, India dan ASEAN.

“Pertumbuhan KDNK APAC diunjur sebanyak 4.6 peratus pada 2017, hampir sama yang dianggarkan untuk 2016 pada 4.7 peratus,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan KDNK dunia juga dijangkakan bertambah baik kepada 2.8 peratus berbanding 2.4 peratus pada 2016, didorong oleh pertumbuhan KDNK AS yang lebih kukuh, yang akan turut memberi impak positif ke atas eksport dan pertumbuhan KDNK Malaysia. -MalaysiaGazette