KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat 5.2 peratus pada Disember 2016 kepada 69,727 tan metrik berbanding November 2016.
Jabatan Perangkaan berkata, penyumbang utama pengeluaran getah asli adalah dari sektor kebun kecil iaitu 92.9 peratus.
Harga purata bulanan Lateks Pekat adalah 615.88 sen sekilogram, naik 77.43 sen sekilogram daripada bulan sebelumnya.
Bagi Getah Mutu Malaysia 20, harga purata bulanan turut meningkat sebanyak 127.39 sen sekilogram kepada 839.55 sen sekilogram.
Menurutnya, eksport getah asli pada Disember 2016 dicatatkan sebanyak 61,380 tan metrik naik sebanyak 12.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Lima destinasi utama eksport getah asli adalah China, Germany, Iran, Amerika Syarikat dan Finland.
Sementara itu, penggunaan domestik getah asli jatuh 0.9 peratus kepada 40,838 tan metrik bagi tempoh yang sama. Industri sarung tangan getah kekal sebagai pengguna domestik utama getah asli iaitu 74.9 peratus.
Pada akhir Disember 2016, paras stok getah asli meningkat 10.4 peratus kepada 203,451 tan metrik, kata Jabatan Perangkaan. – MalaysiaGazette