Husam Musa

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata,beliau tidak nampak apa rasionalnya lebih datipada satu laporan polis dibuat ke atasnya.

Katanya, adakah disebabkan Dewan Pemuda Pas tidak yakin dengan laporan mereka sendiri?

“Semalam, saya dimaklumkan banyak laporan polis dibuat Dewan Pemuda Pas negeri di seluruh negara ke atas saya berhubung ucapan saya di Selising, Pasir Puteh, Kelantan pada 6 Februari lalu.

“Apa rasionalnya sehingga mereka membuat laporan di sana sini saya tidak tahu. Saya hanya berpendapat, kebenaran tidak boleh ditegakkan hanya dengan memperbanyakkan laporan polis,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, beberapa Dewan Pemuda Pas negeri telah membuat laporan polis berhubung satu klip video ceramag Husam yang mendakwa pemimpin Pas Pusat menerima wang berjumlah RM90 juta melalui akaun Affin Bank.

Laporan itu dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah.

Husam yang juga Penasihat Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan mendakwa, tindakan sayap parti Pas itu menunjukkan politik pra matang, ragu, mengada-gada dan politik meriam buluh serta bom asap.

Katanya, akan tiba masanya perbuatan buruk menjelma dan terserlah.

“Alang-alang ke balai polis, kes salah guna dan penyelewengan wang negara yang merugikan rakyat seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) patut juga dilaporkan oleh Dewan Pemuda Pas.

“Jika tidak, ia akan menimbulkan pertanyaan sejauh mana Pemuda Pas mengambil berat nasib rakyat dan negara lebih dari mereka dan parti mereka semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette