Gambar Hiasan

PASIR GUDANG – Seorang jurutera kerugian RM403,658 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan kripto pada Mac lalu akibat tertarik dengan keuntungan dalam masa singkat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian bermula selepas mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 47 tahun menerima iklan pelaburan kripto menerusi aplikasi WhatsApp pada 23 Mac lalu.

“Pelaburan Empayar Sinar itu menjanjikan keuntungan lumayan sehingga 15 peratus dalam tempoh tiga hingga enam jam bagi setiap dagangan yang disertai.

“Mangsa percaya dan melakukan 15 transaksi ke lima akaun berbeza pada 27 Mac hingga 15 April,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, jurutera itu menyedari dirinya ditipu apabila gagal mendapatkan semula wang pelaburannya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam kelmarin.

Menurutnya, siasatan awal melalui Semak Mule CCID mendapati, semua akaun yang terlibat mempunyai tujuh rekod polis berkaitan kes penipuan pelaburan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan wang tinggi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast