Norhayati Talib bersama Imran Jeon mengimbau kenangan bertugas selama 37 tahun di Pintu Imran Jeon di Pintu Air JPS Anjung Batu, Melaka..

MELAKA – “Saya pernah minta dia bersara awal sebab tak sanggup tengok dia keluar rumah seorang diri dalam hujan lebat sebelum subuh.”

Demikian rintihan yang pernah disuarakan Norhayati Talib, 53, iaitu isteri kepada Penjaga Pintu Air, Imran Jeon, 60, yang tidak sanggup melihat suaminya bersusah payah keluar rumah di awal pagi untuk mengawal pintu air di kuala sungai bagi mengelakkan banjir.

Katanya, pelbagai perkara tidak diingini bermain difikirannya ketika suaminya meninggalkan rumah dalam cuaca buruk sedang melanda.

“Terdetik di fikiran saya tentang bahaya yang akan berlaku kepada suami saya. Tidur pun tak nyenyak takut apa-apa berlaku.

“Takut la kan kilat petir, jumpa ular, jumpa orang jahat atau jumpa hantu ke. Memang risau sangat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Serkam di sini hari ini.

Norhayati turut tidak dapat melupakan pengalamannya bersama suami dan tiga anaknya beraya di beberapa pintu air.

Jelasnya, dia melakukan perbuatan itu kerana semata-mata mahu menemani suaminya yang berseorangan di pintu air.

Pengalaman itu, ujarnya, mengajarnya memahami betapa susah payah suaminya mencari rezeki untuk keluarga.

Kini dia bersyukur kerana suaminya tidak mengalamI sebarang kejadian tidak diingini selepas tamat berkhidmat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selepas 37 tahun.

Norhayati juga berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang meraikan persaraan suaminya pada 24 September lalu.

Majlis itu tambahnya sebagai bukti penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan suaminya kepada masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here