Noor Rashid Ibrahim

KUALA LUMPUR- Polis masih menyiasat identiti sebenar lelaki warga Korea Utara, Kim Chol yang mati di negara ini Isnin yang dilaporkan sebagai abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya juga masih menyiasat sama ada dokumen perjalanan yang digunakan Kim Chol, 47, dokumen yang sebenar ataupun palsu.

“Setakat yang kami dapat sahkan lelaki warga Korea itu dikenali sebagai Kim Chol berdasarkan dokumen perjalanan mangsa namun kita masih siasat dokumennya (pasport) sama ada betul atau palsu.

“Saya menasihatkan pihak media jangan membuat sebarang andaian dan apa-apa perkembangan mengenai perkara ini kami akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya semalam berkata, lelaki Korea Utara yang cuba mendapatkan bantuan perubatan awal di kaunter khidmat pelanggan KLIA2 semalam dikenali sebagai Kim Chol dengan pasport bernombor 836410070 dan dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun 1970.

Media asing melaporkan kononnya si mati adalah Kim Jong-Nam dan mendakwa beliau mati dibunuh.

Dalam pada itu, mayat Kim Chol dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) pukul 9.30 pagi tadi dari Hospital Putrajaya dengan kawalan ketat polis.

Pada jam 10.50 pagi ini kelihatan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh memasuki perkarangan unit tersebut sebelum beredar 10 minit kemudian.

Kira-kira 50 wartawan tempatan dan asing mula berkumpul di perkarangan unit forensik itu sejak pukul 9 pagi tadi untuk mendapatkan laporan lanjut tentang kes tersebut yang mendapat liputan luas media antarabangsa.

Kim Chol dilaporkan berada di KLIA2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau pada 9 pagi.

Beliau dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dari lapangan terbang setelah mengadu kurang sihat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast