Menteri Penasihat Bahagian Informasi, Sosial dan Budaya kedutaan itu Trigustono Supriyanto berkata pertemuan itu bagi mengesahkan identiti wanita itu serta ketulenan pasport yang dimilikinya.
“Saya hanya menerima maklumat mengenai penahanan wanita itu yang memegang pasport negara kami menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh rakan dan tiada makluman rasmi daripada pihak berkuasa Malaysia kepada kami.
“Sejurus selepas mendapat maklumat itu, kami telah berhubung dengan Kementerian Luar Malaysia dan sehingga kini, kami masih menunggu maklum balas daripada mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya.
Katanya selagi tidak dapat menemui wanita itu, kedutaan tidak dapat mengesahkan identitinya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu kenyataan, berkata wanita bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Feb 1992 ditahan awal pagi tadi. Dia memegang pasport Indonesia.
Ia adalah wanita kedua ditangkap bersabit kematian Jong-nam susulan penahanan wanita dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasport Vietnam di klia2 pada pukul 8.20 pagi semalam.
Isnin lepas, Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau pada Isnin dan kemudian meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya setelah meminta bantuan di kaunter lapangan terbang berkenaan.
— BERNAMA