KUALA LUMPUR – Eksploitasi menggunakan agama untuk mengaut keuntungan dibimbangi menimbulkan kekeliruan kepada orang Islam.
Ketua Aktivis Persatuan Penguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sekiranya tidak dibendung, takut-takut selepas ini akan terdapat individu yang mengirim doa yang bercanggah daripada tuntutan agama.
“Tindakan yang sesuai, patut dan perlu kerana kita takut nanti ada pula pihak yang mendoakan yang tidak sepatutnya seperti kematian orang lain pula, itu lagi tidak kena,” katanya yang mengulas mengenai isu terbaharu perkhidmatan Valet Doa.
Dalam menyekat khidmat Valet Doa, Nadzim menggesa pihak berkuasa agama menyediakan garis panduan untuk menyekat agama daripada menjadi tujuan komersial demi semata-mata membuat untung.
“Majlis Fatwa dan JAKIM kena mainkan peranan di mana mereka perlu ada garis panduan yang jelas kerana perkara ini sudah menjadi komersial, sebelum ini tak jadi komersial begitu.
“Jadi, kita kena ada larangan dan garis panduan yang jelas bagi pengguna kerana orang ramai ini mudah sangat percaya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahaya turut melahirkan kebimbangan isu Valet Doa, sekiranya tidak dibendung akan membawa bidaah.
“Tindakan tersebut tidak wajar kerana ia mengundang pelbagai persepsi dan situasi.
“Saya nyatakan kebimbangan. Saya tidak menuduh. Apabila dikomersialkan, orang akan cari dan membuka kepada situasi tanpa sempadan,” kata Fathul Bari.
Valet Doa baru-baru ini menjadi tular di media sosial, bagaimanapun ramai pengguna melahirkan rasa kesal selepas menyaksikan kewujudan akaun Facebook mempromosi perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Mekah.
Ia mengenakan caj antara RM250 sehingga RM5,000 kepada orang ramai yang dianggap tinggi melalui pakej tertentu seperti VVIP serta pakej King Salman. – MalaysiaGazette