KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar berhubung terus kepada pihak berwajib sekiranya mengetahui perkara-perkara yang dirasakan sangsi.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna tidak perlu menjadikan laman sosial untuk menghebahkan sesuatu perkara yang dilihat bercanggah terutamanya jika ia melibatkan hukum halal dan haram.
“Bukan tidak boleh berkongsi di laman sosial, tetapi adalah lebih baik jika maklumat itu disalurkan terlebih dahulu kepada pihak berkenaan agar tindakan dapat diambil dengan segera,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau ditemui selepas sidang media mengenai Projek pembangunan Pasar Borong Selayang di sini semalam.
Nadzim berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pihaknya menerima maklumat berhubung gambar sebuah lori yang dikatakan membawa bangkai ayam untuk dihantar ke sebuah restoran nasi ayam seperti tersebar di laman sosial baru-baru ini.
Difahamkan, gambar yang dirakam itu berlaku di Pulau Pinang.
Menurut Nadzim, beliau telah melihat gambar itu dan ada menggesa PPIM Pulau Pinang untuk menjalankan siasatan sama ada bangkai ayam itu turut dibekalkan di restoran-restoran lain atau sebagainya.
Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh pihaknya, bangkai ayam itu dijadikan baja untuk tanaman dan bukan untuk dimakan.
Beliau turut yakin bangkai ayam itu tidak dibekalkan ke restoran-restoran makanan segera.
Menerusi perkongsian di laman Facebook gambar sebuah lori muatan lima tan hampir penuh dengan ayam yang dilihat terkulai dan dipercayai sudah mati.
Netizen mendakwa, ayam tersebut dipercayai dijual secara lelong dengan harga RM2.00 seekor serta menamakan sebuah restoran yang menjual nasi ayam sering membeli ayam tersebut.
Difahamkan, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku kerana bangkai ayam sering dibawa dalam keadaan terdedah namun sehingga kini tiada maklumat sahih dapat mengesahkan perkara berkenaan.
Perkongsian gambar itu jelas menimbulkan pertanyaan netizen yang mahukan pihak berkuasa menjalankan siasatan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan. – MalaysiaGazette