Douglas Uggah Embas

KUCHING – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu semalam menunjukkan undi keyakinan daripada masyarakat di kawasan itu terhadap kepimpinan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Abang Johari berjaya menyampaikan mesej bahawa beliau akan meneruskan legasi bekas ketua menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan melaksanakan semua projek yang dirancang di kawasan itu.

Uggah, yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata sokongan menggalakkan terhadap Datuk Amar Jamilah Anu dalam PRK itu juga menunjukkan penduduk Tanjong Datu meletakkan kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ia membuktikan bahawa keputusan untuk meletakkan Jamilah bagi meneruskan kerja keras Allahyarham suaminya, Tok Nan (Adenan), mendapat sokongan sepenuhnya daripada majoriti penduduk Tanjong Datu.

“Saya amat yakin bahawa beliau akan dapat berkhidmat dan membawa pembangunan yang lebih besar untuk rakyat di Tanjong Datu,” kata Uggah.

Beliau berkata kegagalan calon pembangkang dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dan Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) untuk mendapatkan undi yang cukup sehingga kehilangan deposit juga menunjukkan jumlah sokongan rakyat terhadap BN.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN Sarawak yang juga Ketua Pemuda PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kemenangan itu menunjukkan rakyat Tanjong Datu menghargai apa yang telah dilakukan oleh Allahyarham Adenan untuk kawasan itu.

“Pemuda PBB sangat yakin bahawa Jamilah akan meneruskan legasi Allahyarham suaminya bagi meningkatkan status sosioekonomi penduduk di kawasan tersebut,” kata Menteri Kerja Raya itu.

Setiausaha Wanita PBB Datuk Nancy Shukri mengucapkan tahniah kepada Jamilah dan keluarganya untuk kemenangan besar yang tidak dijangka itu.

“Kami sudah menjangkakan bahawa beliau akan memenangi kerusi itu dengan bergaya tetapi BN adalah pakatan yang merendah diri, semua komponen berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan besar,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Wanita PBB Puan Sri Empiang Jabu pula berkata tambahan bilangan wakil wanita dari PBB dalam DUN semestinya akan memperkukuhkan parti.-MalaysiaGazette