KUALA LUMPUR – “Bukan mudah menjadi Zakaria Arshad sekarang. Semua yang saya buat menjadi pandangan mata ramai, membuatkan saya sentiasa berhati-hati,”.
Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad, ketika diminta mengulas gambarnya sedang menghisap cerut di London yang tular di media sosial pada awal tahun ini.
Katanya, ia adalah gambar tiga tahun lalu, sebelum dilantik menjadi peneraju FGV lagi.
Beliau yang kesal dengan tindakan individu yang menularkan gambar tersebut berkata, apa yang yang dilihat dalam gambar itu tidak seperti yang digambarkan dalam kotak pemikiran orang ramai.
“Kami bukan siar-siar di London. Sebaliknya berehat selepas menghadiri mesyuarat. Dan, cerut yang dihisap bukanlah berharga beratus ringgit atau beribu-ribu ringgit.
“Dalam pasaran ada pelbagai jenis cerut – dari paling mahal hinggalah paling murah. Kalau tak percaya anda boleh lihat harga cerut yang dijual di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Yang berharga RM8 sebatang pun ada,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Zakaria, beliau tidak tampil untuk membersihkan namanya selepas isu itu menjadi tular kerana berpendapat Allah lebih mengetahui.
“Takpalah benda pun sudah terjadi, cuma saya perlu berhati-hati lain kali bagi mengelak buruk sangka orang terhadap saya. Benda-benda ini semua menjadi pengalaman dan saya kena ambik ikhtibar,” katanya.
Tidak bijak berkata-kata seperti Rafizi
Mengulas mengenai serangan Rafizi Ramli terhadap FGV, Zakaria berkata, kenyataan-kenyataan yang Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat itu banyak yang silap dan tersasar.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu melayan dakwaan-dakwaan tidak berasas itu kerana perlu menumpukan tugas dan tanggungjawabnya sebagai peneraju FGV.
“Tidak menafikan dia pandai bercakap sehingga boleh meyakinkan orang ramai yang tidak faham, tidak tahu pun tentang operasi syarikat, risiko pelaburan, pulangan pelaburan, pelaburan jangka panjang dan sebagainya. Takpalah itu kelebihan beliau.
“Saya pula tidak bijak berbicara seperti dia. Lebih baik saya fokus pada tugas saya dan biarlah keputusan kewangan FGV yang menjawab semua dakwaan-dakwaan beliau nanti.
Beliau yang mengakui selalu melawat tanah-tanah ladang di Felda di seluruh negara, sebenarnya isu-isu FGV lebih panas di sini berbanding di kawasan Felda sendiri.
Ini kerana, penduduk Felda sentiasa diberi penerangan mengenai situasi semasa bagi mengelakkan timbul salah maklumat dan salah faham.
Malah, Zakaria berkata, beliau sentiasa ‘membuka pintu’ kepada mana-mana pihak yang mahu penjelasan tentang FGV dan setakat ini tidak ada pihak luar yang tampil.
Perbetulkan salah tanggapan antara Felda dan FGV
Zakaria yang sudah setahun menjadi peneraju FGV berkata, fokus pengurusan entiti itu adalah mahu mengembalikan semula pertumbuhan FGV pada landasan yang sepatutnya dengan memberi penumpuan pada aktiviti perladangan yang menjadi teras bisnesnya.
“Kami secara konsisten mematuhi pelaksanaan penstrukturan semula FGV dan saya berani untuk menyatakan syarikat ini sudah keluar daripada mimpi ngeri,” katanya.
Zakaria Arshad
Sasaran FGV adalah meningkatkan keuntungan supaya dapat mengembalikan saham syarikat perladangan itu dalam 10 kaunter saham utama di Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak mungkin berlaku dalam pada setahun, dua ini namun berikrar perkara itu akan direalisasikan.
Pada masa sama, Zakaria berkata, FGV juga akan berusaha untuk mengelakkan salah tanggapan antara Felda dan FGV.
Katanya, masyarakat sebenarnya tidak dapat membezakan antara kedua-duanya sehingga jika ada isu berkaitan dengan Felda, maka FGV turut terkena tempias. – MalaysiaGazette