SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini menjadi tumpuan media apabila tercetus khabar kedatangan anak Kim Jong-nam ke Malaysia hari ini.
Penerbangan AirAsia AK8321 dari Macau yang dipercayai dinaiki Kim Han-sol mendarat kira-kira 7.33 malam namun kelibatnya gagal dikesan kira-kira 100 pengamal media yang menanti sejak 6 petang.
Pihak media yang menunggu di dua lokasi klia2 iaitu balai ketibaan antarabangsa dan pintu laluan orang kenamaan, beberapa kali cuba mengejar individu yang kelihatan seperti Han-sol, namun berakhir kecewa.
Pada kira-kira 9 malam, seorang jurukamera dapat merakamkan kelibat seorang pemuda bertopi hitam dan memakai topeng muka berjalan keluar dari balai ketibaan, namun tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu adalah Han-sol apabila dia tiba-tiba hilang.
Anak sulung Jong-nam itu dipercayai datang ke Malaysia bagi memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti dan urusan menuntut mayat.
Sebelum ini, Malaysia menolak permohonan Korea Utara untuk membawa pulang mayat Jong-nam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan polis memerlukan sampel DNA daripada waris mangsa bagi melengkapkan siasatan dan mayat hanya akan diserahkan kepada warisnya.
Polis juga memberi masa selama dua minggu kepada waris Jong-nam untuk menuntut mayat mendiang yang kini ditempatkan di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.
Jong-nam yang merupakan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, meninggal dunia pada 13 Feb lepas ketika dalam perjalanan ke hospital.
Jong-Nam sebelum itu dilaporkan berada di klia2 sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.-MalaysiaGazette