Pencemaran tidak terkawal telah membawa kesan kepada sungai kita dan pembangunan juga telah mengurangkan daya tarikan kawasan persekitaran Masjid Jamek. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu pencemaran persekitaran di kawasan Masjid Jamek akan diberi perhatian bagi memastikan nilai sejarah dan keindahan masjid itu, antara yang tertua di negara ini terpelihara.

Perdana Menteri berkata pencemaran tidak terkawal telah membawa kesan kepada kawasan persekitaran masjid yang begitu unik kerana menjadi titik pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak.

“Pencemaran tidak terkawal telah membawa kesan kepada sungai kita dan pembangunan juga telah mengurangkan daya tarikan kawasan persekitaran ini.

“Sehinggakan ada laporan bahawa tidak sesuai berjalan di sepanjang tebing sungai,” katanya dalam catatan Facebooknya malam ini. Najib berkata jika dibandingkan dengan bandaraya maju lain seperti New York, Paris dan Korea Selatan, kawasan sepanjang perairan dan sungai begitu meriah dengan aktiviti ekonomi dan riadah oleh pelancong serta keluarga.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan banyak lagi usaha perlu dipertingkatkan untuk memulihkan semula kebanggaan kita ini.

“InsyaAllah saya akan meneliti perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast