KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil pendekatan terbaharu membela nasib bekas pesakit kanser untuk menjalani kehidupan normal seperti lain di negara ini.
Portal web rasmi www.cancerfly.com sebuah web yang menyediakan peluang kerjaya kepada mereka telah dilancarkan oleh Cancerfly Networks dengan kerjasama Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, portal kerjaya itu merupankan inisiatif yang diperkenalkan oleh pengasasnya Dr. Sri Ganesh.
Katanya, portal web berkenaan adalah membantu pesakit kanser yang pulih sepenuhnya daripada penyakit barah kembali ke alam kerjaya di negara ini.
“Saya difahamkan, bilangan pesakit barah yang menerima rawatan di HKL adalah sekitar hampir mencecah 4,000 orang setahun diagnos peringkat awal dan 51 peratus pesakit kanser adalah berusia lingkungan antara 25 hingga 60 tahun.
“HKL merawat mereka dengan kos rawatan RM9,000 seorang setiap bulan sehingga 90 peratus dirawat dan dipulih sepenuhnya dan kini terdapat 150,000 bekas pesakit kanser di negara.
“Tetapi apabila mereka berdepan semula ke kelompok masyarakat, bekas pesakit ini berdepan pelbagai cabaran semasa yang perlu diberi perhatian serius,” katanya semasa berucap dan melancarkan portal berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain dan pengasas portal itu, Dr. Sri Ganesh.
Pesakit kanser yang dirawat kebanyakannya terdiri daripada barah payu dara, paru-paru, dan kanser rahim.
Ia merupakan portal kerjaya pertama yang dicipta khas untuk bekas pesakit kanser.
Subramaniam berkata, laman web itu membantu mendaftarkan para bekas pesakit kanser untuk menceburi bidang kerjaya untuk menaikkan taraf hidup ekonomi mereka.
“Selepas mereka pulih sepenuhnya dari kanser mereka menghadapi cabaran komponen ekonomi yang besar daripada kalangan rakyat untuk memulakan kerjaya hidup semula.
“Dalam hal ini, wujud senario dimana masyarakat agak sukar untuk menerima penyertaan bekas pesakit kanser ini dalam kerjaya.
“Saya menyeru semua majikan memberi kerjasama dalam perkara ini supaya bekas pesakit Kanser diterima di alam pekerjaan untuk memulakan semula kehidupan mereka,” katanya.
Manakala Sri Ganesh ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, portal Cancerfly.com itu berperanan mengiklankan segala produk jualan bekas pesakit kanser selain mendaftarkan peluang kerjaya kosong dan iklan produk jualan.
“Kita cuba menyediakan platform baharu kepada mereka yang pulih sepenuhnya dari kanser untuk menceburi bidang kerjaya untuk menaikkan taraf hidup mereka.
“Simbol rama-rama untuk dipilih kerana ia membawa erti kebebesan dan kami inginkan bekas pesakit bebas meneruskan kehidupan mereka semula dan diterima rakyat.
“Beberapa syarikat korporat seperti Prudential, Bank Simpanan Nasional dan McDonalds antara majikan yang akan mengambil bahagian dengan menawarkan sesi temuduga untuk pengambilan pekerja baru dalam kalangan pesakit kanser untuk mencerahkan kehidupan bekas pesakit ini.
“Saya juga mempunyai rancangan untuk memulakan yayasan menyediakan kemudahan rawatan rehabilitasi, kaunseling dan bimbingan untuk bekas pesakit kanser supaya mereka bersedia untuk melangkah semula ke dunia kerjaya.
“Misi ini hanya akan tercapai sekiranya para Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan organisasi swasta berganding bahu untuk merealisasikannya,” tegasnya lagi.– MalaysiaGazette