JAKARTA – Polis Indonesia akan menyiasat restoran-restoran Korea Utara di ibu negara itu yang didakwa digunakan oleh negara tersebut untuk menjalankan aktiviti perisikannya.
Komisioner Kanan, Argo Yuwono berkata, beliau akan menyelaraskan dengan Kementerian Luar mengenai laporan yang sebelum ini diterbitkan oleh agensi berita Singapura, AsiaOne.
Argo berkata, polis akan meneliti lesen restoran-restoran itu sebelum membuat apa-apa tindakan.
“Kita perlu tahu terlebih dahulu apa perniagaan mereka dan siapa pemiliknya. Terdapat peraturan-peraturan yang berlainan bagi perniagaan oleh warga Indonesia dan asing,” katanya seperti yang dipetik oleh tribunnews.com.
AsiaOne sebelum ini melaporkan Agensi Perisikan Korea Utara (RGB) telah beroperasi di Indonesia sejak dua dekad yang lalu.
Memetik sumber tanpa nama, portal berita berkata, RGB telah membuka kilang tekstil di bandar-bandar besar di Indonesia, termasuk Jakarta.
Malah, sebuah bilik di atas restoran Korea Utara di Jakarta didakwa menjadi sebahagian daripada pejabat agensi itu Indonesia. – MalaysiaGazette