Datuk Husam Musa hadir secara tiba-tiba dalam ceramah Pas menimbulkan kekecohan di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

KOTA BHARU – Ceramah bertajuk Husam Lari Dari Debat Baiah kecoh apabila Husam hadir secara tiba-tiba majlis yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu tiba kira-kira pukul 11 malam kemudiannya menaiki pentas bersalaman semasa seorang veteran Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh.

Menyedari kehadiran Husam walaupun tidak disangka, Wan Ismail menjemputnya ke pentas selepas orang ramai yang hadir kecoh.

Sebaik sahaja duduk, Wan Ismail meneruskan ucapan mempertikaikan kredibiliti Husam yang keluar dari Pas dan menyertai Parti Amanah Nasional (PAN).

Semasa Exco Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud berucap, Husam ‘dibasuh’ habis-habisan termasuk dakwaan Husam mengajak berdebat isu baiah tetapi ‘melarikan’ diri sejak Januari lalu.

Nasarudin juga mengkritik Husam kerana menggunakan fatwa dari Mufti Perlis sebagai ‘senjata’ melepaskan diri daripada baiah wakil rakyat Kelantan pada zaman pemerintahan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kekecohan sekali lagi berlaku apabila Husam turun dari pentas kerana mendakwa tidak diberi peluang berceramah.

Selepas itu, Husam berkumpul di perkarangan Kota Darul Naim bertemu dengan para penyokongnya dan menafikan dirinya melarikan diri daripada pelawaan debat Nasaruddin.

Husam Musa
Husam Musa

Beliau berjanji akan menghantar surat kepada Nasarudin untuk menetapkan semula tarikh debat tetapi dalam masa yang sama mahu pimpinan Pas Kelantan meminta maaf kepadanya kerana menggunakan namanya dalam tajuk ceramah malam tadi seakan-akan beliau takut untuk berdebat.

“Saya minta Menteri Besar, Datuk Mohamad Yakub menasihati anak-anak buah dia (Nasarudin) yang tidak matang dan kucar lanar. Mereka seolah-olah beri implikasi saya lari daripada nak berdebat,” ujarnya lagi.

Husam juga menjelaskan, beliau keluar daripada majlis itu setelah permintaannya untuk membalas dakwaan terhadapnya tidak dibenarkan oleh Nasarudin sedangkan beliau mendakwa dijemput ke majlis yang sama melalui Facebook.-MalaysiaGazette